Wednesday, December 23, 2009

WARKAH BUAT ADAM




Ohh Adam…….
Maafkan aku jika coretan ini mengguris hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa,….temanmu yang kau pinta di kala kau kesunyian di syurga dulu. Aku asalnya daripada tulang rusukmu yang bengkok. Jadi,tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan keimanan, kerana aku buruan syaitan.


Adam…..
Maha suci ALLAH yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian ALLAH dalam urusan-NYA. Jika bilangan kaumku mengatasi kaummu, nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya pun. Jika begitu, maka tidak selaraslah undang-undang ALLAH yang mengharuskan Adam beristeri lebih daripada satu tapi tidak lebih daripada empat pada satu waktu.


Adam…..
Bukan kerana ramai isterimu yang membimbangkan aku. Bukan sedikit bilanganmu yang merungsingkan aku. Tapi….aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Sejak dulu lagi aku sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.

Namun….. terasa berat pula untukku mengatakan isi perkara.


Adam…..
Aku tahu bahawa Al-Quran ada ayat yang mengatakan kaum lelaki adalah mengusai kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidikku, kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu……


Tapi Adam,
Nyata dan rata-rata apa yang sudah jadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan. Asalnya ALLAH menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Tapi………realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.



Adam…….
Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, Aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang pada waktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal Negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada di antaramu yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyinsing paha mengamankan Negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?


Adam……
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung! Kenapa? Mengapa begitu Adam? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tidak pandai didik, jika murid bodoh, guru tak pandai mengajar! Adam, kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang daif ini Adam, seharusnya kau Tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti ?didikan NABI MUHAMMAD S.A.W terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?


Adam…….
Kau sebenarnya imam dan aku makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, maka lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu Sembilan, nafsumu satu. Aku…..akalku satu, nafsuku beribu! Dari itu Adam…..pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan konco-konconya. Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah ALLAH, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiupkanlah roh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih ALLAH.


Adam….
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan kerenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih getar mencegah kemungkaran, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah pada dirimu sendiri dan pada Tuhan yang engkau agungkan itu……….HAWA

created by cuya

No comments:

Post a Comment