Saturday, July 28, 2012

TAZKIRAH RAMADHAN (Siri 2) ~TAQWA~


الحمدلله رب العلمين, والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمر سلين, وعلى اله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين. أما بعد

Saudara/i yang dirahmati sekalian...

Allah Ta'ala berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana telah difardhukan juga kepada umat-uma yang terdahulu, moga-moga kamu bertaqwa". (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Pangkat taqwa adalah pangkat yang tertinggi juga menjadi matlamat utama dalam mengerjakan ibadah puasa. Dengan ibadah puasa mampu melahirkan hamba Allah yang taat dan patuh kepada segala arahan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Taqwa di sini, taqwa di sini, taqwa di sini (Rasulullah mengulang perkataan tersebut sebanyak 3 kali) sambil menunjukkan isyarat tangan di dada baginda".

Semestinya isyarat Rasulullah tersebut menunjukkan kepada saketul daging yang berada di dalam dada yang benama hati. 

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

"Di dalam tubuh setiap anak adam ada seketul daging, jika baik ia, maka baiklah seluruhnya, jika jahat ia, maka jahatlah seluruhnya. Ia adalah hati".

Sayyidina Umar al-Khattab mengibaratkan taqwa adalah:

"Taqwa ibarat seorang hamba yang berjalan di tempat yang penuh dengan duri". 

Semestinya apabila seseorang berjalan di tempat yang penuh dengan duri, maka dia akan berhati-hati agar tidak terkena duri tersebut. Begitulah dalam kehidupan kita selaku hamba Allah Ta'ala, kita semestinya berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita agar tidak terjerumus ke dalam kebinasaan dan tidak melewati hukum-hakam yang telah ditetapkan.

Sayyidina Ali k.w.j. pula menyatakan bahawa Taqwa adalah:

"Takut kepada Tuhan Maha Perkasa, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, bersedia untuk hari kemudian dan redha dengan perkara sedikit yang diberi oleh Allah".

Ibnu Masu'd pula menyatakan bahawa Taqwa bermaksud:

"Ingatlah pada Allah, jangan sesekali lupa padaNya. Bersyukurlah pada Allah, jangan sesekali kufur pada nikmatNya. Taatlah kepada segala perintahNya, jangan sesekali melanggarinya".

*Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza*
cc:ustmyzan

No comments:

Post a Comment